Pesta Penalti Di Likas

Penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md Jalil mengasari pemain Sabah, Darren Lok dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas malam ini. – GAMBAR NSTP

KOTA KINABALU: Sabah FC terus kebal di laman sendiri apabila membelasah Penang FC 5-2 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Menariknya perlawanan malam ini turut menyaksikan lima sepakan penalti dihadiahkan pengadil, Zulkarnain Zakaria, masing-masing tiga kepada Sabah dan dua kepada Pulau Pinang.

Empat daripada sepakan penalti itu pula berlaku pada minit kecederaan yang berlarutan sehingga minit ke-102, dengan satu sepakan penalti Pulau Pinang pada minit ke-90 dianggap tidak sah.

Sabah berjaya menambah dua gol menerusi sepakan penalti, masing-masing menerusi Darren Lok pada minit ke-45 dan Rizal Ghazali pada minit ke-102, manakala satu sepakan penalti pada minit ke-100 yang dilakukan Gabriel Peres gagal apabila terkena palang gol.

Pulau Pinang pula mendapatkan sepakan penalti yang menghadiahkan gol kedua buat pasukan pelawat menerusi Adriano Narcizo pada minit ke-91.

Penguasaan Sabah begitu ketara pada babak kedua selepas berjaya menambah dua gol yang membolehkan jurang jaringan bertambah luas selepas kedudukan 2-1 pada babak pertama.

Sabah kekal menguasai permainan dengan kedudukan 4-1 sehinggalah pada minit ke-91 apabila Pulau Pinang diberi sepakan penalti yang menyebabkan keputusan berubah 4-2.

Bagaimanapun, Sabah mendapat ‘bonus’ apabila diberikan dua sepakan penalti pada minit ke-100 dan ke-102, dengan satu daripadanya berjaya menghasilkan gol, membolehkan skuad Sang Badak menamatkan perlawanan dengan 5-2.

Perlawanan malam ini turut menyaksikan penyerang import Sabah dari Korea Selatan, Park Taesu menghadiahkan dua gol, masing-masing gol pembukaan pada minit ketiga permainan dan gol keempat pada minit ke-59.

Gol Penang FC pula dijaringkan penyerangnya, Hassan Saad pada minit kelapan melalui sepakan leret ke arah penjuru kiri gawang Sabah dan gol sepakan penalti Adriano Aparecido Narcizo pada minit ke-90. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *