ADUN UMNO Sabah Lompat Parti Didorong Krisis Kepimpinan, Kata Penganalisis

Yusof Yacob (tengah) adalah antara lima Adun yang meninggalkan Umno Sabah untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah diketuai Hajiji Noor.

KOTA KINABALU : Seorang penganalisis politik menjangkakan lebih ramai wakil rakyat dan pemimpin Umno Sabah akan melompat ke parti ketua menteri Sabah Hajiji Noor.

Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, tindakan itu didorong oleh krisis kepimpinan Umno dan kepercayaan yang semakin kukuh bahawa parti itu adalah “kapal yang sedang karam”.

Beliau mengulas tindakan lima Adun Umno Sabah yang melompat ke Parti Gagasan Rakyat Sabah semalam.

Lee berkata, berlaku perpecahan besar dalam Umno bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi, terutamanya selepas pemecatan dan penggantungan keahlian pemimpin tertinggi.

Katanya, perpecahan dalam parti itu berkemungkinan bertambah buruk berikutan keputusan dua jawatan tertinggi tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Umno.

“Pemimpin-pemimpin yang meninggalkan parti ini tidak melihat Umno mempunyai masa depan mahupun masa yang cukup untuk mengukuhkan semula sokongan sebelum PRN Sabah akan datang.

“Prospek Umno Sabah kelihatan suram kerana mereka kehilangan individu dalam jawatan berkuasa,” katanya.

Adun Umno Sabah yang meninggalkan parti terdiri daripada Yusof Yacob (Sindumin), Jasni Daya (Pantai Dalit), Arsad Bistari (Tempasuk), Hamid Awang (Balung) dan James Ratib (Sugut).

James ialah menteri negeri manakala Yusof pengerusi cabang pelaburan negeri Qhazanah Sabah Bhd.

Lee percaya Hajiji yakin dengan sokongan terhadapnya, dan tidak akan ada masalah untuk menerima mereka yang melompat dari Umno walaupun Gabungan Rakyat Sabah yang diketuainya bersekutu dengan Barisan Nasional di peringkat negeri dan persekutuan.

“Hajiji mendapat sokongan majoriti Adun Sabah, tidak kira apa yang pemimpin persekutuan mahu, dan beliau tahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedar tentang perkara ini,” katanya.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, tindakan Adun Umno melompat ke parti Hajiji “selaras dengan tradisi politik Sabah”, iaitu ramai wakil rakyat lebih suka sejajar dengan dengan kerajaan semasa.

Seperti Lee, Oh juga menjangkakan lebih ramai ahli Umno melompat.

Di Sabah, katanya, apa sahaja boleh berlaku, termasuk nasib politik berubah.

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, yang cuba menjatuhkan Hajiji, perlu menunggu lebih lama sebelum memulakan langkah seterusnya, tambahnya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *