Salahkan Diri Kerana ADUN Keluar Warisan, Shafie Diberitahu

Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Shafie Apdal patut melaporkan kepada SPRM, jika merasakan Adunnya ‘dibeli’.

KOTA KINABALU : Seorang pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, Presiden Warisan, Shafie Apdal harus menyalahkan diri atas tindakan beberapa Adunnya keluar parti.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Shafie patut bermuhasabah diri bahawa kepimpinannya bukan saja ditolak Adun terbabit, tetapi keputusan PRU15 turut menyaksikan mereka ditolak rakyat.

Tambahan, katanya, Adun Warisan meninggalkan parti itu kerana merasakan ia tidak lagi sesuai menjadi platform memperjuangkan hak dan membela rakyat kerana pemimpin utamanya lebih gemar menimbulkan polemik serta ketidakstabilan politik.

Beliau berkata, tindakan Shafie mendakwa Adun terbabit dibeli hanyalah retorik untuk menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahannya sendiri.

“Dakwaan Shafie bahawa Adun Warisan keluar parti kerana dibeli bukan saja cerita fitnah, tetapi politik murahan yang cuba memalitkan imej negatif kepada kerajaan Sabah di bawah pimpinan Hajiji Noor sebagai ketua menteri.

“Jika presiden Warisan itu ada bukti Adunnya dibeli seperti didakwa, beliau perlu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukannya hanya membuat dakwaan retorik,” katanya dalam kenyataan.

Rabu lalu, Shafie dilaporkan mendakwa tiga Adunnya, Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi) meninggalkan Warisan untuk menyokong Hajiji kerana “dibeli”.

Semalam, Norazlinah dilaporkan berkata, beliau meninggalkan Warisan kerana tidak lagi bersetuju dengan hala tuju parti yang tidak konsisten serta mencabar Shafie melaporkan kepada SPRM berhubung dakwaannya.

Sejak pilihan raya negeri Sabah pada September 2020, Warisan kehilangan sembilan wakil rakyat, termasuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Yusof Yacob (Sindumin), Mohamaddin Ketapi (Segama), Peter Anthony (Melalap), Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan). – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *