Budak Jatuh Tingkat 14 Hotel Tidur Tepi Tingkap Sebelum ‘Hilang’

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap bilik di tingkat 14 ke beranda di tingkat lima hotel berkenaan.

KOTA KINABALU : Kanak-kanak yang maut akibat terjatuh dari tingkat 14 sebuah hotel, di sini dikatakan tidur berhampiran tingkap sebelum didapati hilang, pagi semalam.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama ibu bapa dan abangnya berasal dari Miri ke Kota Kinabalu untuk bercuti pada 23 Februari.

Menurut sumber, mangsa yang baru tamat darjah enam di sebuah sekolah rendah Islam di Miri dikatakan baru balik dari bercuti di Ranau bersama keluarganya, dan menginap di hotel berkenaan.

“Mangsa mengalami demam panas dan keluarganya membawa mangsa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, pada 5.50 pagi keesokannya, ibu bapa mangsa mendapati anaknya tiada di tempat tidur dan mereka cuba mencari tetapi gagal sebelum meminta bantuan polis.

“Anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kemudian membuat pemeriksaan sebelum mangsa ditemukan terbaring di beranda di tingkat lima hotel berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) mengesahkan kematian mangsa.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa tidur sebilik dengan ibu bapanya dan katil mangsa terletak di hujung sebelah tingkap.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap bilik di tingkat 14 ke beranda di tingkat lima hotel berkenaan dengan ketinggian 22.5 meter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mendapati kejadian yang berlaku didapati tiada unsur jenayah.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *