Remaja Maut Terkena Renjatan Elektrik Di Manggatal

Abu Sabir di samping jenazah adik tirinya.

KOTA KINABALU : Seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di kawasan paya di Kampung Delima, Manggatal di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Abdul Rahman Mohd Said, 15, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan parit yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal pegawai perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) mengesahkan kematian mangsa disebabkan terkena renjatan elektrik.

Beliau bagaimanapun berkata, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang berada di lokasi turut membuat pemeriksaan dan siasatan bagi mengenal pasti kejadian.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah ditemui dan siasatan kes masih diteruskan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, abang tiri mangsa, Abu Sabir Abdullah, 18, memaklumkan bahawa dia dan bapanya bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan penemuan adiknya yang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, sebelum kejadian mereka ada berhubung dan arwah ada memaklumkan kepadanya bahawa telefon bimbit yang digunakannya sudah rosak.

“Beberapa hari sebelum kejadian, arwah adik ada menghubungi saya dan meminta saya untuk membelikan telefon bimbit yang baharu.

“Saya beritahu kepadanya mahu pulang ke kampung pada Khamis (semalam) tetapi tidak sangka pula kepulangan saya disambut dengan jenazah adik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya lagi, walaupun mereka berlainan ayah, namun dia tetap menganggap arwah sebagai adik kandungnya.

“Saya sangat rapat dengan arwah, ke mana saya pergi saya akan bawa dia ke mana saja. Namun selepas saya bekerja di Kota Belud kami hanya berhubung melalui telefon selama hampir setahun.

“Apabila arwah memberitahu telefon bimbitnya rosak, saya terus memaklumkan akan membelikannya telefon bimbit baharu bila saya pulang ke kampung nanti.

“Bagaimanapun saya tidak menyangka dan sangat sedih kerana tidak dapat menunaikan hasrat untuk membelikannya telefon bimbit,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *