Geran 112D Untuk Sarawak Naik Ke RM300 Juta, Sabah RM260 Juta

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan wakil Sarawak sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

PETALING JAYA: Geran khas untuk Sarawak bawah Perkara 112D Perlembagaan dinaikkan ke RM300 juta daripada RM16 juta, manakala untuk Sabah daripada RM26 juta ke RM260 juta, umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata jumlah geran itu merupakan angka “peringkat awal” dan tertakluk kepada suatu formula yang mengikat semua pihak dan keupayaan ekonomi persekutuan.

“Sarawak hanya diberi RM16 juta dan sudah tentu saya selaku menteri kewangan tidak fikir ia sebagai jumlah besar, (tetapi) untuk beri jumlah yang tinggi pun tidak mampu,” katanya pada sidang media, selepas mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Fadilah Yusof; Premier Sarawak, Abang Johari Openg; dan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Pengumuman ini menyusuli ikrar Anwar sebelum ini, bahawa kerajaan persekutuan akan memastikan peningkatan jumlah geran 112D yang munasabah, serta kajian setiap lima tahun.

Geran khas ini berbeza dengan pemberian mengikut bilangan penduduk (capitation grant) atau pemberian penyenggaraan jalan negeri.

Anwar berkata pemberian ini bukan atas sebab politik. “Kena faham MA63. Ini bukan perjanjian saya, ini dibuat oleh bapa-bapa kemerdekaan.”

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar mengumumkan pelantikan setiausaha kewangan Sarawak ke lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri berkuatkuasa hari ini.

Anwar yakin pelantikan Wan Lizozman Wan Omar ke lembaga pengarah LHDN akan membantu badan berkanun itu. “Syaratnya adalah profesionalisme dan pengalaman.”

Sebelum ini, Timbalan Menteri Undang-undang, MA63, dan Hubungan Negeri-Persekutuan Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dilapor berkata pelantikan ini bagi memastikan kerajaan negeri tahu kedudukan kewangan negara, antara lain untuk membantu rundingan mengenai pemberian khas bawah Perkara 112D. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *