Tepat Pada Masanya Tambah Jawatan Hakim Mahkamah Tinggi – Hajiji

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan cadangan kerajaan Persekutuan untuk menambah jawatan hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak serta menambah baik keadaan bangunan mahkamah di kedua-dua negeri itu.

Hajiji berkata ia merupakan langkah yang baik bagi menangani kes mahkamah yang semakin meningkat di Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Cadangan itu merupakan satu keputusan yang baik dan bijak bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak untuk menangani peningkatan kes.

“Sudah tiba masanya pertimbangan diberikan untuk meneliti keperluan bangunan mahkamah di Sabah yang didapati berada dalam keadaan daif,” katanya dalam jawapan WhatsApp kepada Bernama. 

Anwar hari ini berkata kerajaan sedang meneliti keperluan untuk menambah jawatan hakim Mahkamah Tinggi bagi Sabah dan Sarawak berikutan peningkatan jumlah kes.

Anwar berkata mesyuarat Kabinet juga bersetuju supaya kerajaan melihat kedudukan bangunan mahkamah di Sabah dan Sarawak yang dikesan agak daif.

Presiden Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) Roger Chin juga mengalu-alukan langkah kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau juga meminta kerajaan Persekutuan meneliti perkara lain berkaitan hakim, mahkamah dan undang-undang di Sabah iaitu pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman dan keperluan mengekalkan perwakilan Sabah dan Sarawak yang mencukupi di Mahkamah Rayuan. 

“SLS menggesa pengembalian kuasa dan hak Sabah dan Sarawak dengan mengembalikan kuasa Yang Dipertua Negeri untuk melantik Pesuruhjaya Kehakiman seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum 1994,” kata Chin.

Beliau mencadangkan agar kerajaan mengkaji untuk mengangkat Mahkamah Anak Negeri Sabah setanding dengan Mahkamah Syariah dan membenarkan peguam yang diiktiraf oleh Ordinan Peguam Bela negeri menyertai Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan di negara ini.

Chin juga memuji komitmen kerajaan Persekutuan untuk memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang terbukti daripada pengumuman rancangan Sabah baru-baru ini untuk mengawal selia bekalan elektrik dan gas sendiri dengan menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *