JKDM Lepas Tembakan Ke Arah Pengedar Dadah Cuba Larikan Diri Di Lahad Datu

Mohd Nasir menunjukkan dadah jenis methamphetamine yang dirampas dalam dua serbuan baru-baru ini.

LAHAD DATU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas sebanyak 6.163 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM221,886 dalam dua serbuan berasingan, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM, Mohd Nasir Deraman berkata, serbuan pertama dilakukan jam 3.30 petang, pada 5 Januari lalu di hadapan sebuah kedai Jalan Silabukan, di sini, selepas intipan beberapa hari.

Katanya, pasukan serbuan cuba menahan sebuah kenderaan kerana disyaki membawa barang larangan dipercayai dadah.

“Sebaik menyedari kehadiran pasukan serbuan, suspek berusaha melarikan diri dan melanggar kenderaan JKDM.

“Dalam situasi amat cemas dan terancam pasukan serbuan terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang kenderaan suspek untuk mengawal keadaan.

“Namun suspek berjaya keluar daripada kepungan dan memecut laju kenderaan menyebabkan pasukan serbuan mengejar hingga ke satu simpang di Kampung Layung, sebelum berjaya ditahan,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Lahad Datu, hari ini.

Mohd Nasir berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui dadah disyaki methamphetamine dengan berat kasar 3.083 kilogram dianggarkan bernilai RM111,006.

“Kami menahan seorang lelaki tempatan dan warga asing masing-masing berusia 24 dan 23 yang kini sudah direman untuk siasatan lanjut.

“Turut dirampas sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM43,000,” katanya.

Serbuan kedua dijalankan jam 8.15 pagi, pada 12 Januari lalu di sebuah terminal pusat kiriman dan penerimaan barang atau bungkusan Tawau.

“Hasil pemeriksaan menemui kotak disyaki mengandungi dadah berbahaya dipercayai jenis methamphetamine dengan berat kasar 3.08 kilogram dan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM110,880.

“Modus operandi adalah menggunakan perkhidmatan kurier dengan memberi maklumat palsu di dalam slip pos (consignment note) seperti alamat tidak wujud selain perniagaan atau syarikat tidak aktif,” katanya.

Katanya, kes sedang dalam siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *