Pencarum Mohon PM Pertimbang Pengeluaran KWSP Hingga RM30,000

Sejak Mac 2020 kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP sebanyak empat kali untuk membantu rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi.

KUALA LUMPUR : Sekumpulan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memohon satu lagi skim pengeluaran sebanyak RM10,000 hingga RM30,000 secara “one off”.

Ia diserahkan Presiden Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat) Khairul Anuar Othman kepada Azman Abidin iaitu setiausaha politik kepada Anwar, hari ini.

Khairul berkata, pengeluaran awal diperlukan sebagai penyelesaian jangka pendek bagi mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Katanya, ada dalam kalangan pencarum mempunyai tunggakan pinjaman bank dan memerlukan sumber kewangan bagi memulakan perniagaan selepas kehilangan pekerjaan.

“Pengeluaran KWSP terbukti akan menggalakkan proses pemulihan ekonomi kerana pemulihan aliran wang akan berlaku melalui pembelian barang keperluan, pembayaran hutang, pembayaran bil tertunggak, perbelanjaan anak-anak sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac 2020, kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP sebanyak empat kali untuk membantu rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi.

Ia membabitkan skim i-Lestari serta i-Sinar yang dilaksanakan pada 2020, disusuli i-Citra pada Julai 2021.

Pada Mac tahun lalu kerajaan membenarkan pengeluaran khas RM10,000.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *