Kami Sokong RUU Anti-Lompat Parti Sabah, Kata PBS, PH

PBS dan Pakatan Harapan akan menyokong RUU anti-lompat parti apabila dibentangkan di DUN Sabah Mac ini.

KOTA KINABALU : ADUN Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pakatan Harapan (PH) akan menyokong rang undang-undang anti-lompat parti apabila ia dibentangkan pada persidangan DUN.

Presiden PBS, Maximus Ongkili, berkata Ketua Menteri Hajiji Noor dan kerajaan negeri sudah menyatakan RUU itu adalah dalam agenda seterusnya persidangan DUN.

“Kami (tujuh ADUN PBS) akan sokong. Kelulusan undang-undang anti-lompat parti adalah kemenangan bagi PBS, apa jua yang mengukuhkan kesucian serta kesetiaan ADUN kepada parti dan rakyat,” katanya menurut Bernama.

Semalam, Ewon Benedick yang secara rasmi mengambil alih jawatan presiden Upko mencadangkan RUU anti-lompat parti dibentangkan pada persidangan DUN, Mac ini.

ADUN Kadamaian itu berkata, beliau sudah mengemukakan cadangan itu kepada Hajiji dan kerajaan negeri kerana disifatkan penting bagi mewujudkan kestabilan politik di Sabah.

Sementara itu, Pengerusi PH Sabah Christina Liew berkata tujuh ADUN daripada gabungan berkenaan juga akan menyokong RUU itu.

“Apa jua keputusan kepimpinan parti, saya pasti ketua menteri (Hajiji) tahu apa yang perlu dilakukan. Jika kerajaan memulakannya (membentangkan RUU itu), kita akan sokong. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *