Lebih 14 Tahun Tinggal Lebih Masa, Warga Pakistan Didenda RM50,000, Penjara

Tertuduh, warga Pakistan, Bakht Rahman, 47, (tengah) dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM50,000 selepas mengaku salah tinggal melebih masa.

TAWAU : “Hukuman ini adalah sebagai mesej jelas bahawa tiada sesiapa yang boleh mengatasi atau memperolok-olok akta dan peraturan Imigresen di negara ini,” tegas Hakim Mahkamah Sesyen Tawau Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Beliau berkata demikian di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, ketika menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM50,000 terhadap warga Pakistan, Bakht Rahman, 47, yang mengaku bersalah tinggal melebihi masa atau tamat tempoh pas di negara ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman selepas mendapati kesalahan tertuduh adalah serius dan berat apabila tinggal menetap di negara ini lebih sedekad atau bersamaan 14 tahun, tujuh bulan dan 12 hari.

“Sekiranya datang dengan cara yang betul…mesti ikut undang-undang, guna saluran sah dan jika berhasrat tinggal lebih lama…boleh buat permohonan, sebaliknya kesalahan kamu ini…jika sehari dua (tinggal lebih masa) mungkin boleh dimaafkan, tetapi ini sudah lebih sedekad,” kata Awang Kerisnada.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) Akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang daripada RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Tawau di Jalan Wakuba Gading di sini, pada 27 Disember lalu, kira-kira 1 tengah hari.

Hasil siasatan mendapati tertuduh tinggal lebih masa di negara ini dengan menggunakan pasport yang tamat tempoh pada 15 Mei 2008.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Tawau Pilin Kenrey manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *