Ada Formula Selesai Ketidaktentuan Politik Sabah – Zahid Hamidi

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR, 8 Jan : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin terdapat formula bagi menyelesaikan ketidaktentuan politik di Sabah ketika ini.

Tanpa menyatakan secara lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata formula itu antaranya mempericikan kehendak atau ‘wishlist‘ yang dikemukakan pihak terlibat, namun pastinya ia akan dipertimbang secara rasional.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata formula penyelesaian itu akan dibawa dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam masa terdekat.

“Walaupun ia (kemelut politik Sabah) nampak besar, tetapi saya yakin ada formula yang akan kita bawa ke Kota Kinabalu, dan saya fikir ‘gencatan senjata’ mesti dilakukan sekarang, dan tidak ada sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak yang menyentuh mengenai perkara itu.

“Rakyat jangan dibebani jika berlaku ‘hung government’ ataupun masalah perundangan mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri ataupun perlembagaan negeri itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga mahu kestabilan politik di peringkat nasional diterjemahkan di peringkat negeri termasuk dalam isu di Sabah.

Jumaat lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin juga Timbalan Ketua Menteri, mengumumkan keputusan untuk menarik sokongan daripada kerajaan Sabah.

Semalam pula Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata atau pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Sabah bagi membincangkan isu politik negeri itu akan diadakan sebaik sahaja beliau pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *