Kerajaan Disaran Tubuh Jawatankuasa Percepat Permohonan Kerakyatan Tertunggak

Khoo Poay Tiong berkata, jawatankuasa itu menjadi perantara antara pemohon dan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan permohonan kerakyatan tidak tertunggak terlalu lama.

KUALA LUMPUR : Seorang wakil rakyat DAP mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa bagi menyegerakan permohonan kewarganegaraan tertunggak.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, jawatankuasa itu berperanan sebagai perantara antara pemohon dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan permohonan kerakyatan tidak tertunggak terlalu lama.

Beliau menyarankan semua Ahli Parlimen, termasuk blok pembangkang, menganggotai jawatankuasa itu bagi membantu KDN meneliti permohonan tertunggak melebihi dua tahun.

“Lulus atau tidak, tetap terpulang kepada menteri. Kita (jawatankuasa) cuma percepatkan proses permohonan,” katanya kepada FMT.

Khoo berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai wakil rakyat kerana mereka dapat membantu permohonan kerakyatan yang datang daripada penduduk di kawasan masing-masing.

“Wakil rakyat lebih peka dengan permohonan (kerakyatan) kerana ada di antara permohonan itu melibatkan penduduk di kawasan masing-masing.

“Jadi, keputusan yang ingin dibuat kerajaan akan menjadi lebih pantas.”

Terdahulu, Khoo mengumumkan permohonan kewarganegaraan dua kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kerakyatan dua kanak-kanak itu dilucutkan pada 2012, selepas status perkahwinan ibu bapa mereka terbatal pada 2012.

Warganegara Malaysia, Soon Guan Poh, 45, berkahwin dengan wanita dari Vietnam, Tran Thi Diem, pada 2006, tetapi status perkahwinan mereka terbatal pada 2012 selepas pegawai yang mendaftarkan perkahwinan mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada Julai 2012, pasangan itu mendaftarkan semula perkahwinan mereka, tetapi dikejutkan dengan status kerakyatan dua anak mereka dilucutkan JPN. Mereka mengemukakan permohonan kewarganegaraan bagi dua kanak-kanak itu pada 2012, 2014 dan 2018.

Pada 2020, permohonan mereka dibawa ke kamar khas Parlimen dan mendapat perhatian bekas timbalan menteri dalam negeri, Ismail Mohamed Said sebelum diluluskan September lalu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *