25 Orang Terperangkap Banjir Di Polumpung

Pasukan Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap banjir menggunakan sistem Hauling.

KOTA BELUD : Seramai 25 individu berdepan detik cemas apabila terperangkap banjir di pusat peranginan Polumpung, Kampung Melangkap Baru, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, lima lelaki dan 20 wanita terperangkap selepas jalan raya dinaiki air dan kenderaan tidak dapat melaluinya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.28 petang.

Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi berkenaan.

“Sebaik tiba, pasukan bertindak membuat pemeriksaan di kawasan yang dinaiki air dan keadaan mangsa, serta menasihati mereka supaya bergerak ke tempat selamat.

“Operasi mengeluarkan mangsa dari kawasan itu dijalankan pada 6 pagi tadi, menggunakan sistem hauling.

“Semua mangsa seramai 25 orang dikeluarkan pasukan bomba dengan selamat dan ditempatkan sementara di homestay berhampiran, selain ada yang diambil keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, air semakin surut namun enam kenderaan pelbagai jenis milik mangsa masih terperangkap.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 pagi tadi,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *