Sabah Turut Terkesan Kekurangan Bekalan Telur Ayam

Kekurangan bekalan telur ayam di pasaran bukan hanya terhad di Semenanjung malah turut menjejaskan Sabah dan Sarawak.

KUALA LUMPUR: Isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran bukan sahaja membelenggu pengguna di Semenanjung, malah turut menjejaskan keperluan rakyat di Sabah dan Sarawak terutama menjelang sambutan Krismas minggu depan.

Di Sabah, tinjauan Bernama mendapati kekurangan bekalan telur ayam memberi kesan kepada persiapan menyambut perayaan itu terutama dalam kalangan pengusaha kedai kek dan kuih-muih.

Rata-rata pengguna ditemui di sekitar Kota Kinabalu, mengakui mereka sukar mendapatkan bekalan bahan mentah itu di pasar besar, kedai runcit atau pasar raya, selain harganya dilihat semakin meningkat.

Suri rumah, Veronica Paul, 50, berkata dia kerap berdepan situasi kehabisan bekalan telur ayam di pasar raya dan kedai runcit sejak akhir-akhir ini.

Abdul Hamid Damang, 42, pula berkata kekurangan bekalan sumber protein itu menyebabkan dia terpaksa membeli telur jenis Omega pada harga RM20 sepapan berbanding telur gred C yang dijual sekitar RM12.90 sepapan. Sementara itu, peniaga telur ayam di Pasar Besar Kota Kinabalu, Hasrul Rizal, 21, menjelaskan masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran sudah berlarutan sejak dua tiga bulan lepas hingga memaksa peniaga mengehadkan pembelian bagi setiap pengguna.

Katanya sebelum masalah itu berlaku, bekalan telur ayam yang diterima daripada pembekal sekitar 500 papan sehari, berbanding hanya 250 papan sehari ketika ini dan bekalan paling kurang ialah telur ayam gred A, B dan C.

“Kebiasaannya bekalan telur ayam akan sampai sekitar pukul 1.30 tengah hari atau 2.30 petang dan ia hanya bertahan dua atau tiga jam sahaja kerana ramai pelanggan akan ambil (membelinya),” katanya.

Situasi sama turut dialami di Sarawak apabila bekalan telur ayam sukar diperoleh memandangkan permintaan yang tinggi dan cepat habis, selain berdepan isu kenaikan harga hingga membebankan golongan berpendapatan rendah.

Di Kuching dan Sibu, pengguna yang ditemui mengadu tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa membeli telur ayam pada harga antara RM12 dan RM20 sepapan.

Menurut suri rumah, Annie Simon, 36, peningkatan harga barangan keperluan seperti telur ayam menyebabkan dia perlu sentiasa mencongak kewangan keluarganya bagi memastikan ia mencukupi untuk keperluan hingga hujung bulan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *