Jangan Bunuh Buaya Pantai Tanjung Lipat, Jabatan Hidupan Liar Diberitahu

KOTA KINABALU: Seorang peguam hak asasi haiwan mengecam rancangan Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk menembak dan membunuh seekor buaya yang dikesan di pantai Tanjung Lipat di sini minggu lepas.

Rajesh Nagarajan berkata, jabatan itu seharusnya melindungi hidupan liar daripada manusia, bukannya membunuh mereka.

“Jelas bahawa buaya ini semata-mata mencari makanan di perairan yang kehabisan ikan ditangkap manusia,” katanya.

Jumaat lepas, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata, pegawai hidupan liar sedang giat mencari buaya itu tetapi masih belum dapat mengesannya.

Buaya itu akan ditembak jika dikesan, katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melawat pantai dan mengelak sebarang kegiatan di kawasan itu sehingga haiwan reptilia itu dibunuh.

Rajesh menggesa jabatan hidupan liar supaya bersikap lebih berperikemanusiaan, dengan menangkap dan memindahkan buaya itu ke kawasan yang jauh dari penempatan manusia.

Ahli pemuliharaan Benoit Goossens berkata, tiada penyelesaian mudah untuk masalah itu, terutamanya apabila ia berkaitan dengan buaya di laut atau kawasan pantai.

“Jika ada kemungkinan untuk menangkap dan memindahkan buaya itu, itu cara terbaik (untuk menanganinya),” katanya.

“Saya percaya jabatan hidupan lain telah mempertimbangkan semua kemungkinan dan mengambil kira keselamatan manusia dan haiwan itu.”

Tuuga berkata, jabatan hidupan liar telah menerima hampir 30 laporan mengenai kemunculan buaya baru-baru ini, dengan sekurang-kurangnya enam di Kota Kinabalu.

Katanya, buaya yang dikesan di pantai Tanjung Lipat itu berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain.

“(Haiwan itu) tiada sarang tetap. Mustahil untuk memerangkapnya kerana umpan biasa yang digunakan tidak berkesan,” katanya.

“Disebabkan ombak, hampir mustahil untuk memerangkap (buaya itu) di laut. Dan jika ia dipindahkan, ada kemungkinan ia akan menyerang buaya tempatan.”

Tuuga berkata, buaya air masin lebih agresif berbanding buaya air tawar. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *