Muhyiddin Tidak Takut Disiasat Atas Dakwaan Seleweng RM600 Bilion

Tan Sri Muhyiddin Yassin 

KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan seleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini. 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ini kerana beliau tahu beliau tidak melakukan penyelewengan duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu orang ramai semasa zaman susah, terutamanya ketika pandemik Covid-19. 

“Saya tidak pasti dari mana angka ini (RM600 bilion) dipetik. Saya agak ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang saya laksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemik. 

“Daripada keseluruhan RM530 bilion ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal, iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Ini termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion, jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan. 

“Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, perbelanjaan yang melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal pula bernilai RM83 bilion. 

Beliau berkata, ia berdasarkan kenyataan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Jun 2021 sebelum ini. 

Jelasnya, suntikan fiskal itu merangkumi perbelanjaan pembelian vaksin bernilai RM5 bilion dan pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat serta bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak. 

“Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya. Ads by Kiosked

“Kalau hal ini berlaku, sudah tentu akan diketahui melalui penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen. Tak mungkin JAN atau PAC terlepas pandang. Ini bukan perkara kecil. 

“Malah Bank Negara Malaysia tentunya telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun saya dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu. Tetapi tidak ada apa-apa pun. Nak kata saya halang siasatan kerana saya Perdana Menteri pun tak betul. Kerana saya telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lebih setahun yang lalu,” ujarnya. 

Beliau menambah, negara mempunyai sistem dan amalan yang standard untuk menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan wang kerajaan di mana kesemua perbelanjaan kerajaan adalah tertakluk kepada audit kerajaan. 

Justeru, katanya, jika terdapat penemuan audit yang mencurigakan, teguran audit boleh dibuat terhadap jabatan kerajaan yang berkenaan dan sekiranya terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku. 

“Saya percaya pihak Kementerian Kewangan Malaysia khususnya agensi LAKSANA (Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua lapan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri. 

Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah. Ads by Kiosked

“Cuma pesan saya kepada ahli-ahli politik Pakatan Harapan dan UMNO, janganlah asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru berusia beberapa hari ini yang kelihatan masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. 

“Awak sudah jadi kerajaan, bertindak seperti kerajaan. Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka,” jelasnya.  – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *