Bekas Jurugambar NSTP, Datu Ruslan Sulai Meninggal Dunia

Allahyarham Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU : Bekas Jurugambar Eksekutif The News Straits Press (NSTP), Datu Ruslan Sulai, 57, meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, petang tadi.

Allahyarham Datu Ruslan yang pernah berkhidmat sebagai jurugambar NSTP dari 1992 hingga 2017 dengan jawatan terakhirnya Jurugambar Eksekutif NSTP Biro Sabah, menghembuskan nafas terakhir di HQE kira-kira jam 4 petang.

Selain seorang jurugambar, beliau juga aktif dalam bidang seni, khususnya deklamasi puisi, sajak, teater dan seni lukis.

Jenazahnya dimandi dan disolatkan di Masjid Sembulan, di sini, kira-kira jam 7.45 malam ini dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Peringatan, Petagas esok.

Isterinya, Maslina Abdul Rahman berkata, Datu Ruslan dimasukkan di HQE sejak 1 November lalu.

“Allahyarham dibawa ke HQE selepas sering mengalami sesak nafas dan batuk sebelum disahkan mengalami kanser paru-paru tahap empat.

“Pada 16 November, Allahyarham terpaksa ditidurkan selepas menjalani rawatan mengambil sampel. Sehinggalah Allahyarham menghembuskan nafas terakhir petang tadi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HQE, di sini, hari ini.

Sepanjang berkhidmat di NSTP Biro Sabah, Allahyarham banyak memenangi anugerah dalam dunia fotografi selain turut memenangi beberapa anugerah dalam deklamasi puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah.

Allahyarham Datu Ruslan meninggalkan seorang balu dan enam anak iaitu Datu Afiq, 29, Datu Afnan, 25, Datu Afdhal, 23, Nur Najihah, 21, Datu Afif, 17, dan Datu Afdhani, 12. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *