Sabah Wujud Pusat Perlindungan Sementara Untuk Kanak-Kanak Jalanan

Kehadiran kanak-kanak yang berkeliaran serta mengemis di jalan raya, khususnya di bandar-bandar utama di Sabah, menimbulkan kegusaran awam dan imej negatif bagi negeri itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mewujudkan sebuah pusat perlindungan sementara bagi kanak-kanak jalanan dengan projek perintis bakal dimulakan hujung tahun ini, sidang DUN Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Abidin Madingkir berkata, sebuah rumah kerajaan yang tidak lagi didiami di Kota Kinabalu akan diubah suai dengan kos RM250,000 supaya bersesuaian dengan konsep pusat perlindungan sementara itu.

Katanya, pusat itu akan diselia oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am serta dibantu oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kanak-kanak jalanan akan dihantar ke pusat perlindungan sementara untuk pengasingan dalam tempoh maksimum sehingga tiga bulan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) ketika bersidang hari ini.

Abidin berkata, pusat itu menyediakan program khas yang menerapkan kemahiran pengurusan diri, kehidupan bermasyarakat dan pembelajaran rohani secara tidak rasmi, sebelum kanak-kanak berkenaan dibenarkan pulang kepada ibu bapa atau penjaga masing-masing selepas tempoh tiga bulan.

Katanya, kehadiran kanak-kanak yang berkeliaran serta mengemis di jalan raya, khususnya di Kota Kinabalu serta bandar utama seperti Tawau, Sandakan dan Lahad Datu, menimbulkan kegusaran awam selain turut memberi imej negatif kepada negeri itu.

Menurut Abidin, kumpulan pengemis itu kebanyakannya daripada suku Palauh, iaitu kumpulan masyarakat tanpa dokumen yang secara tradisinya menghuni kawasan pesisir laut dan pulau di pantai timur negeri Sabah.

Menjawab soalan tambahan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang), Abidin berkata pusat perlindungan itu hanya menyasarkan kanak-kanak jalanan memandangkan tiada satu jabatan mahupun agensi berkuasa dapat menyelesaikan masalah kanak-kanak berkeliaran.

“Contohnya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hanya boleh menghalau pengemis, termasuk kanak-kanak jalanan, dan mereka akan lari. Tetapi kerajaan berharap kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat, dalam membanteras kewujudan kegiatan mereka ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *