Pelajar KV Keningau Menang Geran RM 20,000

KOTA KINABALU: Pasukan pelajar dari Kolej Vokasional Keningau, Faustin Jami dan Ervin Petrus, telah berjaya menjadi salah satu daripada 10 pemenang pertandingan keusahawanan Pitchborneo tahun 2022 dengan hadiah berupa geran berjumlah 20,000.00 (20K) ringgit Malaysia.

Pertandingan peringkat akhir itu berlangsung di Sky Hotel, Kota Kinabalu, dari 25 sehingga 27 November 2022. Ianya merupakan pertandingan tahunan anjuran Sabah Techpreneur Association (SATA) untuk usahawan-usahawan kecil di negeri Sabah.

Kedua-dua pelajar ini yang merupakan pelajar tahun keempat program pengurusan perniagaan telah mencadangkan idea perniagaan mereka yang dinamakan “3T Bag” dimana “3T” itu merujuk kepada tiga perkataan Bahasa Inggeris iaitu tote, trolley dan trendy.

Justifikasi mereka menghasilkan beg ini adalah untuk mengurangkan jumlah bahan buangan di negeri Sabah, memperkenalkan motif etnik Sabah serta memudahkan pengguna dalam sebarang urusan melibatkan perjalanan jarak jauh.

Produk ini diubahsuai dari beg-beg yang lama, usang, rosak dan tidak digunakan lagi untuk mengelakkan beg-beg sebegini dibuang begitu sahaja. Ianya dihiasi dengan rekaan motif bertemakan etnik-etnik di negeri sabah.

Rekaan beg ini juga membolehkan ianya dijadikan beg troli atau beg tote dengan ruang penyimpanan yang luas dan mudah untuk dibawa.

Pasukan ini akan menggunakan geran yang dimenangi untuk merealisasikan idea ini agar ianya mampu menjadi perniagaan yang boleh diperkembangkan lagi. Pengarah kolej itu, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, sangat berbesar hati dengan kejayaan itu kerana ianya membuktikan kemenjadian pelajar kolej vokasional yang mementingkan kemahiran mereka untuk merekacipta dan seterusnya menjadi usahawan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *