Sokongan Calon PM, Penyokong BN-GRS Perlu Tenang

Ada baiknya semua pihak menanti setiap perkembangan membabitkan kedudukan semasa mengenai pelantikan perdana menteri sebelum membuat sebarang keputusan, Ketua Penerangan BN Sabah Raime Unggi.

KOTA KINABALU : Semua penyokong Barisan Nasional (BN) Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengguris.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Sabah Raime Unggi, berkata senario semasa yang berlaku antara BN Sabah dan GRS tidak sepatutnya diburukkan lagi, sebaliknya penyokong kedua-dua gabungan itu perlu mengekalkan perpaduan sedia ada.

eliau berkata, ada baiknya semua pihak menanti setiap perkembangan membabitkan kedudukan semasa di ibu negara sebelum membuat sebarang keputusan.

“Bagi kami di BN Sabah, kami akan akur setiap keputusan yang diambil oleh pusat, namun dalam masa sama kita juga mengambil pendekatan terus bermuafakat dengan gabungan yang ada.

“Soal siapa sokong siapa, biarlah peringkat atasan yang membuat keputusan, ” katanya dalam kenyataan.

Raime Unggi.

Raime berkata, walaupun keadaan agak ‘panas’ di ibu negara ketika ini berhubung pemilihan perdana menteri ke-10, namun beliau yakin sebarang konflik boleh dielakkan antara BN dan GRS di Sabah jika permuafakatan antara mereka dikekalkan.

“Memang keadaan agak ‘panas’ di Kuala Lumpur yang turut membabitkan beberapa pemimpin kita yang menang pada PRU15 (pilihan raya umum ke-15).

Baru-baru ini, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin membidas kenyataan Pengerusi GRS Hajiji Noor yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Bung turut menyifatkan kenyataan ketua menteri Sabah itu seolah-olah mengisytiharkan “perang” terhadap BN Sabah.

Hajiji dalam kenyataannya berhubung perkara itu kemudian, menjelaskan perjanjian dibuat antara GRS dan BN sudah tidak sah memandangkan BN telah kalah pada PRU15.

Beliau bagaimanapun berharap BN Sabah terus sudi bekerjasama dengan GRS mentadbir Sabah dalam mengekalkan momentum pentadbiran kerajaan diterajui bersama. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *