Agong Titah PN, PH Bentuk Kerajaan Perpaduan, Muhyiddin Tidak Setuju

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun memaklumkan kepada Baginda yang pihaknya tidak mahu bekerjasama dengan PH kerana itu menjadi prinsip gabungan itu sejak dulu.

Muhyiddin berkata, beliau diminta menandatangani satu dokumen, namun beliau menulis nota menyatakan tidak bersetuju mengenai cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, PN menyerahkan dokumen mengandungi akuan berkanun membabitkan 115 Ahli Parlimen kepada Istana Negara, semalam.

Katanya, dokumen itu dihantar secara dalam talian dan pihaknya juga sudah menerima akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebab itu, kami yakin kami dapat membentuk kerajaan tapi maklumlah bila saya menghadap tadi, dikatakan ini tidak cukup.

“Saya tidak tahu apakah sebab di sebalik itu tapi buktinya ada di sini,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, lewat petang ini.

Terdahulu, Muhyiddin memasuki Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, berkaitan isu pelantikan Perdana Menteri ke-10 pada jam 4.08 petang, sebelum keluar daripada kira-kira 5.15 petang. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *