Kalau Letak Jawatan Semua Lah…Bukan Presiden Saja – Bung Moktar

Bung Mokhtar

KUALA LUMPUR : “Sebenarnya, semua pemimpin Umno perlu bertanggungjawab. Kalau letak jawatan semua lah…bukan presiden saja tetapi termasuk juga saya,” kata Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Mokhtar memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai keputusan Tan Sri Noh Omar meletak jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dan desakan kepimpinan tertinggi Umno untuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur kerana kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

“Ini (keputusan) sejarah terburuk Umno namun kita perlu menerima hakikat rakyat menolak kita.

“Tak mengapa, kita menawarkan kestabilan dan kemakmuran, rakyat tolak jadi kita berusaha cara lain,” katanya ketika ditemui di lobi Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Kehadiran Bung Moktar dan pemimpin Umno di ibu pejabat parti itu adalah bagi menghadiri beberapa siri mesyuarat termasuk mesyuarat Biro Politik Umno dan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT).

Berhubung kemungkinan ada gabungan dengan parti pasca PRU-15, Bung Moktar memaklumkan perkara itu belum diputuskan lagi.

Bagaimanapun, Bung Moktar mengakui Umno dan Barisan Nasional memerlukan perubahan dan nafas baru demi kelangsungan parti.

“Kita akan menentukan hala tuju cuma belum putuskan lagi (gabungan). Tiada perbincangan lagi.

“Setiap parti perlu transform (berubah). Senario PRU (pilihan raya umum) kali ini berbeza dengan yang lalu jadi sebab itu kita kena berani mati.

“Ini bermakna kepimpinan akan bertukar ganti. Kita akan pastikan Umno atau BN akan beri nafas baharu kepada rakyat di bawah.

“Kita akan memikirkan cara terbaik memastikan parti survive (bertahan),” katanya.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berakhir dengan situasi kerajaan tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

BN mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *