Mad Sabah Pernah Terima Ugutan Bunuh

Pelawak, Mad Sabah

KUALA LUMPUR : Pelawak Mad Sabah, 33, atau nama sebenarnya Achmad Rusli memaklumkan pernah menerima amaran daripada pihak tertentu yang tidak berpuashati dengannya.

Ia berikutan naib juara program Lawak Solo ini membangkitkan isu kemiskinan dan kegetiran hidup masyarakat di kampungnya di Kunak, Sabah dalam kandungan lawaknya sehingga membuatkan mereka berasa terancam.

“Wakil rakyat saya yang dulu larang saya supaya tak buat ‘punchline’ begini tapi saya tetap buat juga. Sebab saya ambil inspirasi dari seorang wanita yang berasal dari Kota Marudu.

“Dia digelar Ratu Solar di Sabah. Dia belajar kejuruteraan di luar negara dan balik berbakti di kampungnya. Saya rasa apa yang saya boleh buat ialah perjuangkan soal kemiskinan dan kemudahan.

“Ada perubahan yang berlaku selepas itu antaranya wakil rakyat hubungi saya dan kemudahan elektrik pun dah ada selepas itu. Lampu jalan pun dah ada guna tenaga solar. Cuma kemudahan air bersih tiada,” katanya yang mula terbabit sebagai pelawak sejak 2016.

Menurutnya sejak itu wakil rakyat merasa ‘segan’ dan setiap kali diajukan berkenaan sesuatu masalah, dia pasti akan segera membalas.

“Setakat ini saya tak berminat untuk masuk politik di Sabah kerana masih berminat sebagai ‘stand up comedy’.

“Kekuatan saya kerana saya cerita benda yang dekat dengan diri saya. Ugutan itu bukan calang-calang kerana saya pernah kena ugut bunuh.

“Kejadian itu pada 2016 dan saya buat laporan polis. Tapi selagi tiada ugutan yang mengakibatkan kecederaan, saya anggap okey,” katanya.

Peserta Maharaja Lawak Mega secara solo pada 2017 ini menjelaskan dia hanya bercakap mengenai kebenaran dan bukan mahu memalukan mana-mana pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, Mad Sabah bersama dua lagi pelawak iaitu Prakash Daniel dan Brian Tan bersama Harith Iskandar akan beraksi dalam persembahan komedi Relazz Lah Malaysia yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 26 November ini. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *