BN Mahu Bina Politeknik Di Kota Belud

Calon BN Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

KOTA BELUD: Barisan Nasional (BN) menawarkan beberapa kemudahan kepada penduduk daerah ini, jika kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon BN Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata antaranya pembinaan sebuah politeknik bernilai RM50 juta di daerah ini.

“Hasrat mewujudkan institusi pengajian tinggi awam itu di Kota Belud sudah mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Apabila institusi pengajian itu wujud kelak, sudah pasti kemudahan lain juga meningkat di kalangan pelajar dan tenaga pengajar di situ.

“Justeru, saya mencadangkan pembinaan sebuah pekan baru di Tempasuk bagi memenuhi kehendak berkenaan,” katanya pada program Himpunan Anak Muda di Kampung Keguraan, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Kassim Mansor; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Datuk Abdul Aziz Zulkarnain dan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Fadli Juanas.

Abdul Rahman kembali bertanding di kawasan yang dimenanginya pada 2013 sebelum beralih ke Parlimen Sepanggar pada PRU14 lalu, namun tewas kepada Datuk Mohd Azis Jamman yang mewakili Parti Warisan.

Abdul Rahman berkata, sebagai langkah pertama, sebanyak 150 kedai akan dibina di pekan baharu Tempasuk.

“Kewujudan pekan baharu itu dijangka mampu menyediakan ruang perniagaan dan 1,500 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Jelasnya, Kota Belud memiliki kekuatan tersendiri kerana berada berhampiran zon pengeluaran minyak dan gas, yang wajar dimanfaatkan dalam memajukan ekonomi daerah ini.

“Jika BN menang, kita janji tidak ada keluarga di Kota Belud mempunyai pendapatan kurang RM2,208 sebulan.

“Jika pendapatan keluarga RM1,000, kerajaan akan tambah RM1,008 sebulan kepada mereka tanpa perlu mengemukakan permohonan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan BN turut menawarkan pembiayaan sepenuhnya kepada anak penduduk Kota Belud yang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Selain itu, kerajaan akan memberikan komputer riba secara percuma kepada murid sekolah rendah dan menengah di daerah ini dengan jaringan kemudahan internet berkelajuan tinggi.

Abdul Rahman berkata, tawaran itu dibuat demi untuk masa depan penduduk Kota Belud.

Tawaran lain ialah mewujudkan bank pembangunan khusus untuk usahawan wanita mendapatkan pembiayaan perniagaan.

Sebuah Universiti Wanita Malaysia, hospital pakar wanita dan jawatankuasa orang muda di Parlimen.

“Saya merayu undi penduduk Kota Belud untuk kembali kepada BN dan saya lakukannya dengan tawaran timbal balas dan pemberian terutama untuk golongan muda di daerah ini,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *