Kerjasama GRS-BN Akan Diteruskan Pasca-PRU15 – Hajiji

TUARAN, 10 Nov : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkeyakinan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan berterusan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  

Pengerusi GRS itu berkata formula GRS-BN telah terbukti di peringkat negeri dengan kerjasama erat untuk mentadbir dan membawa banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat.  

“Sudah tentu…ia adalah suatu kesinambungan mandat yang diberikan rakyat semasa Pilihan Raya Negeri lepas. Jadi, kami perlu ada kerjasama kukuh bagi memastikan kami mendukung mandat ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT) di sini hari ini.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri Sabah akan mengisytiharkan Nov 18 sebagai cuti umum, beliau berkata perkara itu harus diteliti terlebih dahulu.  

Menyentuh mengenai pendidikan, beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3.38 juta kepada badan agama bukan Islam, sekolah Cina dan mubaligh di Tuaran tahun ini.  

Daripada angka itu RM1.078 juta untuk badan agama bukan Islam dan selebihnya untuk sekolah Cina dan mubaligh di Daerah Tuaran.

Beliau menegaskan kerajaan negeri telah bersetuju untuk meningkatkan peruntukan keseluruhan untuk badan agama bukan Islam,  sekolah Cina dan mubaligh sebanyak RM7 juta kepada RM54 juta tahun depan.

Dalam ucapan perasmian bangunan baharu SMAT yang boleh menampung 500 pelajar pada satu-satu masa,  Hajiji memuji sekolah itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Seventh-Day Adventist kerana menghasilkan ramai pelajar berjaya sepanjang lebih dari 80 tahun kewujudannya.

“Saya yakin SMAT akan meneruskan kecemerlangannya dalam pendidikan dengan menyediakan peluang kepada pelajar untuk cemerlang terutamanya mereka dari kawasan luar bandar,” katanya.

Sebagai menghargai tenaga pengajar SMAT, Ketua Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk membantu pengurusan sekolah dalam meningkatkan program akademik dan pada masa sama beliau berkata kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan permintaan SMAT untuk kemudahan lain  termasuk gelanggang bola keranjang berbumbung.

Terdahulu, Hajiji berkata pendidikan merupakan agenda utama Kerajaan Negeri GRS-BN, maka pembangunan modal insan adalah antara teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan kerana itu kerajaan negeri tidak teragak-agak meluluskan permohonan tanah seluas 0.1 hektar  daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Chung Hwa untuk projek “Green and Nature Park”.

Hajiji juga mengejutkan guru dan murid SJK Cina Chung Hwa dengan meluluskan sumbangan untuk papan tanda pintar “Green and Nature Park” dan pancaragam sekolah itu berjumlah RM150,000 seperti yang dipohon Pengerusi Lembaga Pengarah sekolah itu   Chong Hong Kong dalam ucapannya terdahulu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *