Lelaki Bersenjata Tukul Besi Rompak Kedai Emas Di Wisma Merdeka

Kedai emas di Wisma Merdeka, yang dirompak lelaki bertopi dan bersenjatakan tukul besi.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bersenjata tukul besi melarikan barangan kemas, dalam rompakan di kedai emas di Wisma Merdeka, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, suspek yang memakai topi, pelitup muka dan bersarung tangan itu memasuki kedai emas sebelum terus memecahkan cermin kaunter di kedai terbabit.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, suspek terus memasukkan tangan ke dalam rak berkenaan dan mengambil beberapa utas barang kemas sebelum melarikan diri.

“Pemilik kedai yang berada di dalam premis berkenaan cuba mengejar suspek, namun gagal.

“Kejadian berlaku sangat pantas ketika keadaan di pusat beli belah ini agak lengang. Kebanyakan pekerja dan pemilik kedai berhampiran juga langsung tidak menyedari kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporkan kejadian terbabit.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek serta jumlah kerugian dalam kejadian ini.

“Polis masih menyiasat kejadian ini dan segala maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek kes samun terbabit supaya menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *