PN Cuba Rosak Perjanjian Politik BN-GRS Di Sabah, Kata Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Perikatan Nasional cuba merosakkan perjanjian politik dimeterai antara Barisan Nasional dengan Gabungan Rakyat Sabah.

PETALING JAYA: Tindakan Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon di Sabah adalah cubaan merosakkan perjanjian politik antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, perjanjian politik di negeri itu hanya dibuat antara BN dan GRS sahaja, bukan dengan PN.

“Tidak ada perjanjian antara PN, hanya GRS dan BN. Itu memang amalan dibuat parti itu (PN) ketika di pilihan raya negeri Sabah.

“Mereka (PN) letak calon di kawasan BN, walaupun hanya ada perjanjian BN dan GRS. Mereka cuba merosakkan perjanjian itu dengan meletakkan calon PN di kawasan BN atau di kawasan dipersetujui BN dan GRS,” katanya ditemui media.

Dalam pada itu, Zahid yang juga pengerusi BN turut menyerang Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya ahli politik “serba betul”.

“Dr Mahathir rasa diri semua betul. Beliau tidak boleh lagi menganggap masih mempunyai populariti tinggi ketika menjadi perdana menteri 22 tahun. Ketika menjadi perdana menteri 22 bulan pun, beliau ditolak parti sendiri dan parti gabungan.

“Penolakan terhadap Dr M bukan sahaja di Langkawi. Malah, di seluruh negara…’he is known as father of diversion of issues’ (bapa pengalih isu),” katanya.

Mengulas berhubung kemungkinan membentuk kerjasama membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Zahid berkata, pendekatan dibuat BN adalah demi mewujudkan keadaan politik stabil di negara ini.

“….kita perlu bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), GRS dan gabungan lain juga,” katanya.

Beliau berkata, BN juga menimbang pembentukan kerajaan secara bersendirian bergantung kepada jumlah kerusi dimenanginya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *