Calon PRU Labuan Perlu Dapatkan Permit Kempen Esok – Polis

LABUAN : Polis Labuan menetapkan semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mendapatkan permit kempen pilihan raya pada 3 petang, esok, Sabtu.

Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata taklimat bersama-sama semua calon akan diadakan di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan.

“Semua calon atau wakil mereka perlu mengemukakan rancangan kempen atau dokumen berkaitan untuk tujuan mengeluarkan permit di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bagi mengelakkan pertembungan lokasi kempen,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat penamaan calon di SK Sungai Lada di sini hari ini.

Ahmad berkata seramai 326 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di pelbagai lokasi sepanjang tempoh PRU mulai 5 hingga 19 Nov.

Beliau mengingatkan penyokong dan calon semua parti politik untuk mengelakkan provokasi sepanjang tempoh berkempen terutamanya ketika hari penamaan calon Sabtu ini.

“Kami telah menyediakan tempat untuk semua penyokong berhimpun dan kawasan ini terletak kira-kira 50 meter dari dewan pusat penamaan calon,” katanya.

Beliau berkata Jalan Bukit Besar menuju ke pusat penamaan calon di SK Sungai Lada akan ditutup mulai 6 pagi hingga 12 tengah hari dan orang ramai dinasihatkan menggunakan Jalan Bukit Timbalai untuk ke kawasan berdekatan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *