Penampang Dilanda Banjir, Sungai Pada Paras Bahaya

Setakat ini dua daerah dilanda banjir iaitu Penampang serta Kunak dan satu PPS masing-masing dibuka di daerah itu. – Foto Fail

KOTA KINABALU, 1 Nov : Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 75 orang daripada 14 keluarga pagi ini berbanding 66 orang daripada 13 keluarga malam tadi, susulan banjir melanda daerah Penampang awal pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan sembilan orang daripada satu keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kolam Renang Kompleks Sukan Penampang yang dibuka pada 3.30 pagi manakala mangsa banjir di PPS Dewan Kampung Airport Tun Fuad di daerah Kunak kekal 66 orang membabitkan 13 keluarga.

“Setakat ini dua daerah dilanda banjir iaitu Penampang serta Kunak dan satu PPS masing-masing dibuka di daerah itu. Trend semasa banjir menunjukkan peningkatan dan cuaca hujan pagi ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran dalam laman sesawangnya memaklumkan setakat 8 pagi ini,  keadaan Sungai Pegalan di Ansip, Keningau melebihi tahap bahaya 241.81 meter (m) selain Sungai Padas di Tenom turut menunjukkan trend meningkat berwaspada pada 157.57m.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah ketika dihubungi memaklumkan terdapat satu laporan tanah runtuh di Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom pada 2.39 pagi tadi dipercayai akibat hujan lebat berterusan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, bagaimanapun jalan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan pada masa ini selain pengguna jalan raya diminta menggunakan jalan alternatif Jalan Tenom-Spitang,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah memberi bantuan pemindahan kepada lapan individu apabila rumah mereka di Taman Sri Keningau, Keningau dilanda banjir kilat awal pagi tadi.

“Panggilan diterima pada 1.27 pagi dan mereka dipindahkan ke Masjid Madrasah, namun tiada PPS dibuka setakat ini. Operasi ditamatkan pada 2.05 pagi,” katanya.

Di Tawau, hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat antaranya Rawa-Rawa Batu 4, Jalan Damai, Lorong Haji Muis serta Sekolah Kebangsaan Batu 22 Jalan Apas.

Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Mazlan Sarman ketika dihubungi berkata terdapat penduduk di Kampung Rawa-Rawa memohon bantuan untuk dipindahkan pagi ini, dan sepasukan anggota telah dihantar ke kawasan terbabit.

Katanya, pihak bomba juga giat menjalankan pemantauan di beberapa kawasan berpotensi dilanda banjir kilat di Tawau serta Kalabakan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *