Tiga Pelajar Sabah Finalis Anugerah Belia Global 2022

KENINGAU : Tiga pelajar Kolej Vokasional Keningau telah membanggakan Malaysia setelah berjaya tersenarai sebagai finalis bagi anugerah belia global 2022 ataupun dikenali sebagai Global Youth Awards anjuran RoundTable Global, satu badan kebajikan yang berpangkal di United Kingdom.

Anugerah ini mengiktiraf golongan belia yang mampu membawa perubahan positif. Terdapat ramai finalis dari negara-negara lain yang tercalon untuk empat kategori yang dipertandingkan yang kemudiannya dipecahkan lagi kepada 12 subkategori.

Pemenang bagi setiap subkategori akan diumumkan pada 12 November 2022 melalui majlis anugerah yang bertempat Di Camden Club, London, yang akan disiarkan secara langsung.

Senarai finalis boleh diakses di laman sesawang penganjur https://www.roundtable.global/global-youth-awards-2022

Theevine Dhatu Darussalam (20) dan Aldiedianie Alexander (20) merupakan finalis bagi kategori pendidikan dibawah subkategori inovasi.

Chrisvee Neville (19) adalah finalis bagi kategori alam sekitar dibawah subkategori yang sama iaitu inovasi.

Sebagai seorang pelajar seni kulinari, Theevine telah mencuba beberapa resipe makanan dengan menggunakan bahan-bahan yang tidak berapa dikenali seperti Tuhau yang merupakan sejenis halia hutan dan paku pakis yang kadangkala dianggap sebagai lalang.

Dia juga berusaha untuk menghidupkan semula masakan tradisi etnik Sabah seperti Ampap dan Bosou dengan cara hidangan yang baru.

Dia telah banyak menyertai pertandingan keusahawanan, pertandingan inovasi dan persidangan kajian sebagai peserta dan mentor kepada pelajar-pelajar lain.

Aldiedianie Alexander adalah pelajar pendidikan awal kanak-kanak yang merupakan seorang pencinta seni. Dia telah  meraih beberapa anugerah di festival seni dalam talian melalui deklamasi puisi, penceritaan dan pertunjukan boneka.

Dia juga telah banyak membimbing pelajar-pelajar lain untuk menghasilkan video persembahan seni mereka.

Chrisvee Neville yang mengambil jurusan seni kulinari pernah menjadi panel bagi forum kepimpinan belia anjuran sebuah persatuan belia yang berpusat di UK pada tahun 2021 atas projek makanan berasaskan tumbuhan yang diperkenalkannya untuk menggalakkan pemakanan sihat dan amalan pertanian yang tidak memudaratkan alam sekitar.

Pengarah kolej itu, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, memuji usaha dan sumbangan pelajar-pelajar ini dalam bidang inovasi. Dia yakin bahawa salah seorang dari mereka akan dipilih sebagai pemenang bagi anugerah ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *