Polis Tahan Wanita Anjur Konsert Palsu Di Kota Kinabalu

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, suspek direman tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

SEORANG wanita ditahan selepas terlibat dalam kes penipuan anjuran konsert ‘Unplugged Living Legend’ yang kononnya akan diadakan di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima aduan daripada penyanyi Datuk Awie pada pukul 10.40 malam, Selasa lalu.

Beliau berkata, pengadu telah menerima maklumat daripada rakannya memaklumkan terdapat sebuah hantaran di Facebook yang mempromosikan konsert dijangka berlangsung pada 4 Februari depan.

“Suspek telah menawarkan penjualan tiket konsert berharga diantara RM199 sehingga RM649.

“Pengadu telah menafikan ada ditawarkan atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, suspek seorang wanita tempatan berusia 48 tahun ditahan polis pada 10.40 malam kelmarin di kawasan Klang.

Mohamad Farouk berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau dan salah satu adalah melibatkan kes penipuan.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga Sabtu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.

Sehubungan itu, polis memohon orang ramai yang telah membuat pembelian tiket konsert agar tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan atau menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya di talian 03-42952222.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *