Kami ‘Merisik’ Wakil Rakyat Berminat Sertai KDM, Kata Peter

Peter Anthony (tengah) memperkenalkan calon KDM di kerusi Parlimen Kimanis, Awang Mohd Yusof (kiri) dan Jumardie Lukman untuk kerusi Parlimen Sepanggar.

PENAMPANG: Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony mendedahkan “risik-merisik” sedang berlaku antara parti itu dan beberapa wakil rakyat yang berhasrat menyertai mereka.

Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan masih di peringkat awal dan pengumuman akan dibuat jika “rezeki” berpihak kepada mereka.

Beliau juga enggan mengulas wakil rakyat dimaksudkan itu datang dari parti mana.

“Ya, kemungkinan ada kemasukan YB (Yang Berhormat) kalau ada rezeki dan ini akan memperkuatkan lagi kita di peringkat parti dan persediaan kita dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Setakat ini ya (ada wakil rakyat yang menyatakan hasrat) ada berlaku risik-merisik, tapi kadang-kadang selepas risik ini, ada yang tidak jadi dan kadang-kadang tiada risik pun, tetapi jadi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KDM di sini.

Setakat ini, parti yang ditubuhkan awal tahun ini berjaya “memancing”seorang ADUN daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu Wetrom Bahanda.

Wetrom yang juga bekas pembantu menteri kepada ketua menteri turut diumumkan sebagai timbalan presiden KDM baharu dan calon untuk kerusi Parlimen Kota Marudu.

Dalam perkembangan lain, Peter mengumumkan Awang Mohd Yusof dan Jumardie Lukman akan mewakili parti itu di kerusi Parlimen di Kimanis serta Sepanggar.

Katanya, beberapa lagi calon akan diumumkan di Tenom pada Sabtu ini, membabitkan kerusi Parlimen di kawasan pedalaman.

“Kita juga menerima banyak senarai calon berkualiti untuk bertanding di beberapa kawasan, namun setakat ini, ia masih dipertimbangkan dan kita akan umumkan jika telah dimuktamadkan.”

Selain Wetrom, Awang Ahmad dan Jumardie, seorang lagi calon parti itu ialah ahli perniagaan, Liaw Kit Siong yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu.

Peter berkata, KDM akan menyokong sesiapa saja yang akan menubuhkan kerajaan selepas PRU15.

“Dasar perjuangan atau matlamat KDM ialah menghormati ‘government of the day’ kerana kita mahu hormati keputusan atau mandat rakyat.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *