PRU15: Nisbah Agihan Kerusi 50-50 Antara GRS, BN Di Sabah

Ketua UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin (tengah) bersama kepimpinan UMNO Bahagian Kinabatangan melaungkan kata-kata semangat selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan Ke-30 di Dewan Masyarakat Sandakan.

SANDAKAN, 15 Okt : Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyaksikan nisbah hampir 50-50 dalam pengagihan kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Pengerusi Perhubungan BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini.

Beliau berkata walaupun senarai calon BN dan GRS masih belum dimuktamadkan, tidak akan berlaku pertembungan kerusi seperti apa yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020.

“Secara keseluruhan 25 kerusi (di Sabah). Jadi ia adalah situasi menang-menang untuk kami (BN dan GRS).

“Akan ada ramai muka baharu (calon BN)…kira-kira 80 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di sini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata BN Sabah dan GRS akan mengumumkan calon mereka serentak di Kota Kinabalu tidak lama lagi. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *