Zizie Dibenar Pindah Kes Supaya Didengar Bersama Permohonan Bung Moktar

Permohonan itu adalah semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Bung Moktar Radin dan Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Zizie Izette Abdul Samad untuk memindahkan kesnya supaya didengar bersama permohonan suaminya Bung Moktar Radin.

Permohonan itu adalah semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 Sept lepas yang memerintahkan Bung, 64, dan Zizie, 44, membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Zizie memindahkan kesnya untuk didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid selepas peguam M Athimulan memaklumkan pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan.

Pada prosiding hari ini, Athimulan turut memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memohon untuk menyatukan permohonan semakan Zizie dan Bung pada 11 Okt ini.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria memaklumkan pemberita di luar mahkamah bahawa pihaknya akan berhujah semasa prosiding pendengaran permohonan semakan yang difailkan pasangan tersebut di hadapan Azhar pada 17 Okt ini.

Pada 23 Sept lepas, Sequerah membenarkan permohonan Bung dan Zizie untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah mereka di Mahkamah Sesyen selepas pasangan itu memfailkan notis usul untuk menyemak semula serta mengetepikan keputusan Hakim Rozina Ayob.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya memfailkan permohonan secara berasingan pada 19 Sept lepas antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil serta memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan agar mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah serta bersubahat.

Mereka memohon Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen atas alasan hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan bahawa pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Pada 3 Mei 2019, Bung didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *