‘Mansuh Bayaran Tol, PTPTN Untuk B40 Jadi Keutamaan’ – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim

SUBANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenal pasti 36 dasar yang perlu diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik, termasuk memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), khusus untuk golongan B40.

Semua cadangan dasar itu dimasukkan dalam ‘SCRIPT-For a Better Malaysia’, buku yang mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat Anwar untuk mentransformasikan Malaysia.

Dalam buku dihasilkan menerusi kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Pusat Dasar Postnormal dan Kajian Masa Depan yang dilancarkan hari ini, Anwar antara lain mencadangkan bayaran tol kepada B40 dimansuhkan dengan menyediakan ‘Pas Tol’ kepada golongan itu.

Selain itu, beliau yang juga Presiden PKR berpandangan kerajaan perlu mula melaksanakan kajian skim tol untuk golongan M40 dan T20.

Anwar juga mencadangkan pemansuhan bayaran balik PTPTN kepada golongan B40, selain memansuhkan hutang peneroka FELDA.

Bagaimanapun, buku untuk menyatakan meskipun melihat keperluan cadangan dasar itu menjadi keutamaan kerajaan, ia tidak semestinya dilaksanakan kerana tertakluk kepada sebarang perubahan situasi pada masa depan.

Beberapa cadangan dasar lain, termasuk reformasi cukai secara sistematik dengan menaikkan kadar cukai kepada individu berpendapatan bulanan RM11,000 ke atas, pelan Reformasi Kurikulum Pendidikan dengan fokus pada pendidikan sejarah dan bahasa serta mengehadkan tempoh seorang Perdana Menteri kepada dua penggal.

Selain itu, reformasi institusi pemantau dan kebertanggungjawaban untuk menyasarkan endemik rasuah secara lebih berkesan, menyalur bayaran denda dan pemerolehan untuk keperluan rakyat seperti pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam; pindaan undang-undang bagi menjamin lebih kebebasan kehakiman dan pemantauan polis.

Ketika bercakap pada pelancaran buku itu, Anwar memaklumkan cadangan itu tidak semestinya dilihat sebagai manifesto, tapi kerangka falsafah berasaskan nilai kebajikan, kemampanan, kepercayaan dan antirasuah yang perlu diterjemah dalam bentuk dasar kerajaan.

“Saya harap semua pihak boleh baca, kritik dan beri idea baharu.

“Namun, jangan kita terpesong daripada tema utama yang perlu dibincangkan mengenai kemanusiaan, nilai dan seumpamanya. Benar, ada isu yang penting dalam masyarakat seperti bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, sistem Raja Berperlembagaan, peranan Raja-Raja.

“Ini bukan isu, kita terima semua ini, namun lebih utama adalah kegagalan kita untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat kebanyakan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *