PUTRAJAYA : Seramai 14 guru yang mengajar subjek akademik dan vokasional dari Kolej Vokasional Keningau telah terpilih sebagai penerima anugerah Dikaulah Bintang yang telah julung-julung kalinya diadakan oleh Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia pada 30 September 2022 di Dewan Damar Sari, Presint 1, Putrajaya.
Pengiktirafan ini dibuat berdasarkan kejayaan dan sumbangan guru-guru kolej vokasional dan sekolah menengah teknik dalam bidang inovasi sejak tahun 2020.
Rombongan guru itu diketuai oleh pengarah kolej itu sendiri iaitu Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin.
Selain pengarah kolej, 13 orang guru itu adalah Nurazilah Othman, Alvinah Tony Entai, Akmal Rosimun, Larry James, Haini Kotin, Amirullah Abdul Karim, Marklin Muilin, Saleha Suhaidin, PJ Ape Angat, Ahmad Azharulzaman Ibrahim, Roseanne Nelson, Khalifa Affnan dan Sirhajwan Idek.
Dari tahun 2020 sehingga September 2022, pelbagai anugerah inovasi dan kajian telah dirangkul oleh golongan pendidik kolej terbabit di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuklah Cambridge Dedicated Teacher Award, Simon Greenall Award, Goabroad Innovation Award, YSEALI Seed for the Future, geran projek SEAMEO dan APCEIU serta anugerah emas dan berlian di beberapa pertandingan inovasi.
Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin meluahkan rasa bangga dan gembira dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kepada guru-guru di kolej itu kerana ianya akan membakar motivasi lebih ramai pendidik untuk terus menceburi bidang inovasi agar dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Dia berharap agar KV Keningau terus menjadi pusat kecemerlangan bukan sahaja di peringkat tempatan malah di tahap global.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost