Pemimpin Warisan Bidas Gesaan Senator Filipina Tuntut Sabah

Darell Leiking berkata, gesaan senator Filipina Francis Tolentino agar kerajaan Filipina menuntut semula Sabah ialah sesuatu yang sia-sia.

KUALA LUMPUR : Darell Leiking berkata, gesaan senator Filipina Francis Tolentino agar kerajaan Filipina menuntut semula Sabah ialah sesuatu yang sia-sia.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, dengan kerajaan Filipina semasa pimpinan Presiden Ferdinand Marcos Jr telah memutuskan bahawa anugerah itu ialah “tuntutan persendirian”, gesaan senator itu sesuatu yang sia-sia.

Sabah kekal sebagai wilayah Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa sejak 1963, dan tiada tuntutan boleh mengatasinya, tambahnya.

Leiking merujuk kenyataan yang dibuat oleh setiausaha akhbar presiden, Trixie Cruz-Angeles bahawa anugerah timbang tara kepada waris Kesultanan Sulu itu bukan soal kedaulatan tetapi berkait dengan “tuntutan persendirian”.

Pada Rabu, senator Filipina Francis Tolentino menggesa setiausaha luar yang baharu untuk “merebut peluang” menuntut semula Sabah berdasarkan kemenangan waris Kesultanan Sulu itu di mahkamah timbang tara Eropah.

Leiking berkata, Tolentino gagal melihat bahawa kemenangan itu tidak masuk akal kerana waris terbabit menggunakan laluan timbang tara yang salah. Pihak yang menuntut sepatutnya meneruskan tuntutan mereka untuk mengembalikan bayaran bulanan RM5,300 melalui Mahkamah Tinggi di Sabah, katanya.

Leiking berkata, berikutan gesaan keterlaluan oleh senator itu, Wisma Putra perlu memanggil duta Filipina ke Malaysia dan mengeluarkan amaran berhubung kenyataan senator itu.

“Selain itu, pengiktirafan Tolentino terhadap tuntutan yang dibuat oleh waris Kesultanan Sulu itu penuh ironi; negaranya sendiri tidak mengiktirafnya. Setakat yang saya tahu, negaranya sebuah republik,” katanya kepada FMT.

Mahkamah timbang tara Perancis memutuskan pada Mac bahawa Malaysia perlu membayar pampasan sekurang-kurangnya RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu.

Mengikut perjanjian pada 1878, sultan Sulu ketika itu, Sultan Jamal Al Alam, menyerahkan kedaulatan ke atas sebahagian besar Sabah kepada Baron de Overbeck, maharaja Sabah ketika itu, dan Alfred Dent daripada Syarikat Borneo Utara British – yang bersetuju bahawa mereka dan pewaris mereka perlu membayar sebanyak 5,000 dolar Mexico (atau RM5,300) kepada waris Kesultanan Sulu setiap tahun.

Malaysia mengambil alih pembayaran ini berikutan kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia pada 1963. Pembayaran dihentikan pada 2013 berikutan pencerobohan bersenjata ke atas Lahad Datu, di sepanjang pantai timur Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *