‘Putera Usukan’ Jadi Harapan Terbaik BN Rampas Kerusi Kota Belud

Faktor anak jati dengan latar belakang keluarga terkemuka, memberi kelebihan kepada Salleh Said Keruak berbanding Abdul Rahman Dahlan, kata penganalisis.

KOTA KINABALU : Barisan Nasional (BN) akan mengukuhkan kemungkinan merampas kerusi Parlimen Kota Belud di Sabah daripada Warisan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), jika mencalonkan seorang “putera” tempatan yang berpengaruh, kata penganalisis.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, anak jati dengan latar belakang keluarga terkemuka seperti bekas menteri persekutuan, Salleh Said Keruak mempunyai peluang lebih cerah memenangi kerusi itu berbanding Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Abdul Rahman Dahlan.

“Warisan menang di Kota Belud pada PRU14, dan kini wujud peluang sama rata untuk semua pihak menang di situ. BN memerlukan pelbagai kelebihan, termasuk mencalonkan seorang anak jati untuk menawannya kembali,” katanya.

Beliau berkata, penting untuk BN merampas semula Kota Belud kerana ini akan menyukarkan Warisan bertapak di pantai barat negeri itu.

Kerusi Parlimen Kota Belud kini disandang Isnaraissah Munirah Majilis dari Warisan, yang mengalahkan Salleh pada PRU14 dengan 4,262 undi. Pada PRU13, Isnaraissah yang bertanding atas tiket PKR kalah kepada Rahman.

Salleh, ketua menteri Sabah dari lewat 1994 hingga pertengahan 1996, kini ialah ADUN Usukan. BN memenangi dua kerusi manakala Bersatu menang satu daripada empat kerusi DUN di Kota Belud pada pilihan raya negeri, menerusi Salleh (Umno) di Usukan, Arsad Bistari (Umno) di Tempasuk dan Fairuz Renddan (Bersatu) di Pintasan. Satu lagi kerusi (Kadamaian) dimenangi oleh Ewon Benedick daripada Upko.

Jumaat lalu, Rahman dilapor mengesahkan beliau akan bertanding dalam PRU15, tetapi menyerahkan kepada kepimpinan partinya untuk memilih kerusi yang akan ditandinginya.

Bagaimanapun, ketua Umno Tuaran itu membayangkan dia mengintai kerusi Kota Belud yang pernah disandangnya selama dua penggal sebelum beralih ke Sepanggar pada PRU14, di mana beliau kalah kepada Azis Jamman dari Warisan dengan 12,984 undi.

Oh berkata, untuk kerusi luar bandar seperti Kota Belud, tarikan utama pengundi adalah pemberian “goodies” serta janji pembangunan dan peluang pekerjaan.

Katanya, walaupun kedua-dua calon BN berpotensi itu mampu memberikan janji sedemikian, Salleh pasti lebih mudah diterima pengundi disebabkan latar belakangnya.

Salleh yang berketurunan Bajau, berasal daripada keluarga politik tempatan terkemuka, dengan ada di antara mereka terdiri daripada Orang Kaya-kaya, manakala ayahnya, Allahyarham Said Keruak adalah bekas gabenor dan ketua menteri negeri itu.

Oh berkata, dengan mempertimbangkan semua perkara, peluang untuk Salleh menang lebih baik disebabkan asal-usul tempatannya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *