Penyamun Pakai Baju Jalur Gemilang Ditahan

Penyamun mengenakan pakaian ‘Jalur Gemilang’ sebelum menyamun mangsa 16 tahun.

SANDAKAN : Penyamun yang mengenakan baju ‘Jalur Gemilang’ sebelum menyamun seorang remaja di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Mawar, berjaya ditahan polis, semalam.

Suspek berusia 24 tahun, warga tempatan dan seorang lagi 25 tahun warga asing diberkas kira-kira jam 10.30 malam di kawasan setinggan Kampung Sundang Laut.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kejadian samun berkenaan berlaku pada Isnin.

Menurutnya, dalam kejadian samun itu, telefon bimbit mangsa iaitu seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, dilarikan oleh kedua-dua suspek menaiki sebuah motosikal.

“Klip video kejadian samun berkenaan berdurasi 71 saat turut tersebar di media sosial sebelum mangsa membuat laporan polis pada semalam.

“Susulan laporan dibuat mangsa, kedua-dua suspek berjaya ditangkap oleh anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

“Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 395, Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Terdahulu, sejak kelmarin tular video kejadian suspek berkenaan menyamun di kedai dobi sambil memakai baju ‘Jalur Gemilang’. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *