Hari Sabah Akan Disambut Mulai Tahun Depan

KENINGAU: Hari Sabah atau hari kemerdekaan Sabah akan disambut di seluruh negeri selepas diwartakan secara rasmi bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata ia sejajar kepentingan Hari Sabah yang jatuh pada 31 Ogos dalam sejarah kemerdekaan negeri ini.

“Kita harus bangga kerana kita mempunyai identiti kita sendiri, tarikh kelahiran kita sendiri dan ia sangat penting kepada kita.

“Atas sebab itu, kita dapat bergerak lebih jauh ke hadapan dan bekerja bersama untuk menjadikan Malaysia sebuah persekutuan seperti yang kita harapkan,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Sabah, di sini, semalam.

Berdasarkan rekod sejarah, Sabah mencapai kemerdekaan selepas British menyerahkan secara rasmi pentadbirannya kepada pemimpin tempatan pada 31 Ogos 1963.

Kira-kira dua minggu selepas penyerahan itu, iaitu pada 16 September 1963 barulah persekutuan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu dibentuk secara rasmi

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata tarikh 16 September yang diisytiharkan sebagai Hari Malaysia wajar disambut di seluruh negara untuk memperingati pembentukan Malaysia.

“Tiga wilayah, Sabah, Sarawak dan Malaya bersama membentuk persekutuan 59 tahun yang lalu. Ia adalah tarikh yang sangat penting kepada persekutuan ini.

“Hari Kebangsaan yang jatuh pada 31 Ogos ditakrifkan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai memperingati Hari Kemerdekaan Tanah Melayu.

“Ia tiada kaitan dengan Sabah dan Sarawak dan sepatutnya hanya disambut di Tanah Melayu sebagai Hari Kemerdekaan mereka,” katanya.

Katanya, atas sebab itu rakyat negeri ini wajar menjadikan tarikh 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan Sabah yang jatuh pada tarikh sama Hari Kemerdekaan Tanah Melayu.

Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau, berkata catatan arkib sejarah menunjukkan bahawa pada 8 Ogos 1963, Dewan Undangan Borneo Utara secara sebulat suara mengumumkan kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 tanpa mengira sama ada pembentukan Malaysia menjadi realiti pada hari berkenaan atau sebaliknya.

“Kemerdekaan Sabah adalah prasyarat utama untuk pembentukan Malaysia, ia adalah kebenaran yang jelas,” katanya.

Beliau berkata, keinginan untuk merdeka adalah asas pertama yang menjadi pembakar semangat kepada rakyat

Sabah untuk menyokong pembentukan Malaysia.

Sehubungan itu, katanya Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September sepatutnya menjadi Hari Kebangsaan Malaysia, berbanding 31 Ogos yang menjadi Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan Sabah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *