Alesyah Asa 10 Finalis Terbaik Global Student Prize Bernilai RM 448K

Alesyah Asa

KUALA LUMPUR : Anak kelahiran Sabah, Alesyah Asa, 20, dinobatkan sebagai 10 finalis terbaik bagi Chegg.org Global Student Prize 2022, anugerah yang menawarkan hadiah US$100,000 (RM448,000) dan diberikan kepada pelajar yang mampu membawa impak dalam pembelajaran, kehidupan rakan sebaya serta masyarakat.

Pelajar Diploma Teknologi Pembinaan, Kolej Vokasional Keningau itu terpilih daripada lebih 7,000 pencalonan dan permohonan dari 150 negara selain merupakan satu-satunya pelajar Malaysia dalam senarai finalis anugerah itu.

Dalam kenyataan hari ini Chegg.Org memaklumkan Alesyah telah mengetuai beberapa inisiatif sekolahnya yang memfokus kepada pelajar vokasional dan pelajar berkeperluan khas.

“Sebagai seorang daripada beberapa pelajar perempuan yang mendaftar dalam kursusnya dengan misi untuk memberi inspirasi kepada wanita muncul cemerlang dalam bidang vokasional yang secara tradisinya didominasi lelaki, beliau telah mewakili jabatannya dalam beberapa pertandingan dan membimbing pelajar perempuan lain untuk melakukan perkara yang sama.

“Alesyah mengetuai projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) di sekolahnya yang melatih rakan sebaya dan guru mengenai robotik, dron, percetakan tiga dimensi (3D) dan keusahawanan. Projek itu menjadi penerima pertama Geran STEAM berjumlah US$1,000 daripada Yayasan Awesomen yang berpusat di Amerika Syarikat (AS),” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Alesyah juga merintis program pertukaran antarabangsa dengan beberapa sekolah di Korea Selatan, mengetuai pasukan yang kesemuanya wanita sebagai Pemenang Inovasi Komuniti di Hackathon Belia Literasi Media dan Maklumat Global, anjuran bersama Unesco dan Republik Korea.

“Pasukannya membantu menangani salah maklumat berkaitan Covid-19 dengan mendidik orang ramai tentang berita palsu dan penipuan menerusi satu set strategi yang membantu komuniti menyelidik, menganalisis dan menilai maklumat dengan lebih baik.

“Menerusi usahanya, Alesyah telah memperjuangkan peningkatan peluang pendidikan kepada golongan wanita, pelajar vokasional, pelajar luar bandar dan mereka yang kurang upaya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pemenang anugerah berkenaan dijangka diumumkan pada minggu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York akhir bulan ini.

Chegg.org ialah cabang impak, advokasi dan penyelidikan yang menumpukan kepada usaha menangani isu dihadapi pelajar masa kini. – BERNAMA

Kenyataan akhbar pencapaian pelajar ini boleh diakses di laman sesawang penganjur: https://www.globalteacherprize.org/global-student-prize/2022-finalists/

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *