PBM Terima Mohamaddin Selepas Ambil Kira Akta Anti Lompat Parti, Kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin berkata, penyertaan Mohamaddin Ketapi yang beberapa kali melompat parti sebelum ini, tidak akan menjejaskan kredibiliti Parti Bangsa Malaysia.

PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menerima kemasukan Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi selepas mengambil kira Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan Dewan Rakyat bulan lalu, kata Presiden Penggantinya, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, penerimaan bekas pemimpin Bersatu itu turut mengambil kira keadaan politik negara yang masih tidak menentu.

“Kita terbuka memandangkan keadaan politik yang tidak stabil dan ambil kira Akta Anti Lompat Parti. Jadi, ahli politik ada perkiraan mereka sendiri,” katanya selepas melawat makmal Orion Biosains sempena pelancaran perkhidmatan ujian DNA benih sawit.

Ahad lalu, Mohamaddin yang juga bekas menteri pelancongan, seni dan budaya mengumumkan penyertaannya dalam PBM pada sidang media yang turut dihadiri Presiden PBM, Larry Sng.

Dalam pada itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, penyertaan Mohamaddin – yang beberapa kali melompat parti – tidak akan menjejaskan kredibiliti parti itu.

“Sebagai parti baharu, PBM mengalu-alukan sesiapa yang nak datang, tapi sudah tentu kena ikut polisi yang ada.”

Mohamaddin yang bertanding atas tiket Warisan, memenangi kerusi Parlimen Lahad Datu pada pilihan raya umum ke-14 dan kerusi Dewan Undangan Negeri Segama pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Pada 26 Nov 2021, beliau meninggalkan Warisan dan menyertai Bersatu.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kedudukan Sng akan ditentukan dalam mesyuarat agung tahunan pada Oktober ini, selepas dirinya mengambil alih sepenuhnya jawatan presiden PBM daripada Sng nanti.

Sng menyertai PBM dan dilantik sebagai presiden Januari lalu.

Mengenai permohonan PBM menyertai Barisan Nasional, Zuraida yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi berkata, perkara itu masih tergantung.

“Belum ada jawapan lagi, kalau ada, BN akan keluarkan kenyataan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *