Najib Dipenjara: Ada Harapan PH Kembali Berkuasa, Kata Penganalisis

Pakatan Harapan (PH) berpeluang menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang apabila Umno hilang penguasaannya di media sosial, kata penganalisis Awang Azman Pawi.

KUALA LUMPUR : Peluang untuk Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa telah meningkat susulan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang mula menjalani hukuman penjara, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, beliau percaya bekas perdana menteri itu menjadi penghalang terbesar terhadap aspirasi PH apabila bebas menyerang gabungan itu melalui ucapan dan penulisannya.

“Sabitan terhadap Najib mengakibatkan Umno hilang taringnya,” kata sambil menambah kelemahan Umno itu akan memberi tamparan kepada jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, serangan berterusan Najib terhadap PH akhirnya membawa kepada gabungan itu hilang kepercayaan rakyat, malah reputasinya juga masih belum dapat dipulihkan.

Awang Azman Pawi

Beliau memuji catatan Najib di dalam talian yang dibuat dengan teliti dan berkata tiada pemimpin BN lain dapat menandingi popularitinya di media sosial.

“Dia mempunyai 4.6 juta pengikut dan hantarannya mendapat puluhan ribu ‘like’. Tiada sesiapapun dalam pembangkang mempunyai pengikut seperti itu.

“Dengan Umno kini kehilangan ‘jeneral’ media sosial mereka, PH mampu memenangi PRU15, lebih-lebih lagi jika tidak diadakan secepat mungkin memandangkan kehilangan Najib memberi kelebihan kepada PH,” katanya.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir bagaimanapun berbeza pendapat, apabila menganggap sabitan terhadap Najib itu mampu meraih undi simpati daripada penyokongnya untuk Umno dan BN.

Jeniri Amir.

“Malah mungkin mereka yang menyokong Umno tetapi tidak menyukai Najib kembali ke parti itu.”

Beliau bagaimanapun berkata, bahaya dihadapi Umno dan BN kini adalah ketiadaan pemimpin untuk mengetuai mereka melawan pembangkang.

“Peranan Najib dalam pilihan raya negeri Johor dan Melaka tidak boleh dipandang enteng. Sekiranya BN mahu menang dalam pilihan raya, ia perlu diadakan segera untuk membolehkan mereka meraih undi simpati.”

Jeniri berkata, jika pilihan raya tidak diadakan dengan segera, ini akan memberi masa kepada lawan BN menarik sentimen daripada menyokong kerajaan pimpinan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

“Jika pilihan raya ditangguhkan, dan tanpa kekuatan Najib menyokong BN, tidak mustahil PN mampu mendapat semula sokongan rakyat,” katanya kepada FMT.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman Najib dalam kes SRC International.

Najib yang didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan membayar denda RM210 juta. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *