Azis Jamman Tidak Pertahan Jawatan Ketua Pemuda Warisan, Beri Peluang Muka Baharu

Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman juga tidak akan bertanding mana-mana jawatan dalam pemilihan parti pada 26 dan 27 Ogos nanti.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman menjelaskan keputusan tidak mempertahankan jawatan ketua Pemuda Warisan dalam pemilihan parti akan datang untuk memberi peluang kepada “orang baharu”.

Beliau berkata, keputusannya itu juga bukan disebabkan kepentingan peribadi, sebaliknya mahu regenerasi berlaku dalam parti.

“Keputusan tidak mempertahankan jawatan ketua Wira (pemuda) itu datang daripada saya sendiri. Saya telah bertemu Presiden (Shafie Apdal) untuk menyatakan hasrat tidak pertahankan jawatan itu kerana saya tidak mahu Warisan jadi sama seperti Umno.

”Ini merupakan satu budaya, iaitu ‘regeneration of the party must be done’. Kita mesti berani, jadi peranan kita adalah melahirkan pemimpin dan saya mulakan daripada diri saya,” katanya.

Azis berkata, walaupun tanpa jawatan, ia bukan penghalang untuk terus membantu Warisan memastikan parti itu diterima rakyat, sekali gus menjadi kuasa penentu kuat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, peremajaan dalam Warisan perlu susulan pelaksanaan dasar undi18 yang akan menyaksikan penambahan pengundi muda.

“Kalau kita takut membuat perubahan ini, saya risau orang di luar sana juga akan takut buat perubahan. Saya lepaskan jawatan ketua Wira bukan kerana ‘personal interest’, tetapi demi perjuangan kita…secara keseluruhan adalah mempersiapkan diri kita bagi menghadapi PRU15.”

Azis turut memaklumkan tidak akan bertanding mana-mana jawatan dalam pemilihan parti nanti, namun tidak memberi respons ketika ditanya sebabnya.

Pertandingan bagi merebut jawatan ketua Pemuda Warisan bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Mohd Ismail Ayob dan Tsabbit Aqdamana Abd Mukti. Pemilihan parti bakal berlangsung di Penampang pada 26 dan 27 Ogos ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr berkata, tiada pertandingan untuk tiga jawatan utama parti itu dalam pemilihan nanti.

Shafie dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking kekal sebagai presiden serta timbalan tanpa bertanding. Bagi jawatan naib presiden pula, hanya Jaujan Sambakong, Junz Wong dan Terrence Siambun yang menghantar pencalonan, oleh itu semuanya menang tanpa bertanding. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *