Curi Seluar Dalam Wanita, Lelaki Dipenjara 24 Bulan

Tertuduh tengah) dijatuhkan hukuman penjada 24 bulan.

KOTA KINABALU : Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencuri pakaian dalam wanita, minggu lalu.

Majistret Jessica Ombou Kakayun membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh berusia 39 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, duda berkenaan didakwa mencuri pakaian dalam wanita di Taman Puncak, Menggatal, di sini, pada 1.39 pagi, 11 Ogos lalu.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tertuduh mencuri pakaian dalam wanita menggunakan sebatang kayu di beranda belakang rumah mangsa.

Tertuduh kemudian ditahan di rumahnya pada 13 Ogos lalu dan pemeriksaan menemui 10 jenis pakaian dalam wanita berada dalam simpanan tertuduh.

Ketika rayuan, peguam Nabila Norsahar dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan memandangkan anak guamnya mengaku bersalah dan menyesal atas perbuatannya.

Nabila memaklumkan tertuduh sudah bercerai dan mempunyai dua anak selain tidak bekerja.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Albert Basiri memohon hukuman setimpal kerana lelaki itu melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap wanita.

“Kes ini membabitkan kepentingan awam khususnya wanita. Semasa ditahan tertuduh didapati memakai seluar dalam wanita itu.

“Tertuduh juga mengaku bahawa dia berada dalam keadaan sedar dan waras ketika melakukan jenayah itu untuk memuaskan nafsunya,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *