Rumah Sembelihan Ayam Di Sandakan Diarah Tutup

DR Johari memeriksa rumah sembelihan ayam di Sandakan.

SANDAKAN: Padah gagal memastikan penjagaan aspek kebersihan, sebuah rumah sembelihan ayam di Batu 14, di sini diarahkan tutup dalam operasi, hari ini.

Dalam operasi bermula kira-kira 9.30 pagi itu, Jabatan Kesihatan Daerah Sandakan melakukan pemeriksaan ke atas dua rumah sembelihan ayam.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, hasil pemeriksaan mendapati salah sebuah premis terbabit didapati agak kotor dan diarahkan tutup.

“Pemeriksaan menemui tikus dan najis tikus di tempat proses ayam di rumah sembelihan berkenaan. Perbuatan itu adalah sangat serius kerana mereka membekalkan ayam berkenaan kepada masyarakat.

“Kebersihan dan keselamatan makanan yang dibekalkan harus dijaga dengan teliti,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Rumah Sembelih, di sini.

Dr Johari berkata, sebuah lagi rumah sembelihan ayam dikompaun RM2,500 kerana tidak mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

Menurutnya, kedua-dua rumah sembelihan itu pernah diarahkan tutup pada Mei lalu kerana tidak mematuhi PJKM.

“Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa dan kita menasihatkan rumah sembelihan ayam agar patuh dengan peraturan yang ditetapkan dalam memastikan makanan yang dibekalkan kepada masyarakat terjamin dan selamat,” katanya.

Katanya, tindakan penutupan dan kompaun berkenaan diambil mengikut Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan Kebersihan Makanan Tahun 2009. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *