Bapa, Anak Masih Kritikal

Pasukan bomba menemui mangsa kebakaran yang rentung dalam kejadian di Kampung Perpaduan, Kinabatangan.

KINABATANGAN : Dua mangsa kebakaran di Kampung Perpaduan, kelmarin, dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Mohd Adsni Sani, 43, dilaporkan melecur hampir keseluruhan badan dan terpaksa ditidurkan, manakala anak lelakinya, Mohd Isnain, 12, turut parah.

Biras mangsa, Fatimah Talib, 40-an, berkata, Mohd Adsni melecur teruk selepas menyelamatkan anaknya dalam kejadian kebakaran kelmarin.

“Dia keluar dan masuk beberapa kali ke dalam rumah untuk selamatkan anak-anaknya.

“Mohd Adsni juga cuba selamatkan anak lelakinya yang berusia enam tahun (Mohd Adlinsyah yang rentung ketika kejadian), namun api sudah terlalu marak.

“Sebab itu dia melecur hampir seluruh badan dan tidak sedarkan diri ketika ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fatimah berkata, selepas gagal menemui anaknya, dia cuba masuk semula ke rumah berkenaan tetapi dihalang keluarga lain.

“Keluarga lain terpaksa halang sebab api sudah terlalu marak. Ketika itu dia masih sedarkan diri dan selepas dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan, dia terpaksa ditidurkan dan kini dalam keadaan kritikal.

“Anaknya masih sedarkan diri tetapi ditidurkan jika luka melecurnya sedang dibersihkan,” katanya.

Katanya, mangsa berkenaan adalah staf kakitangan sebuah agensi kerajaan di Kinabatangan dan sebelum ini pernah bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Apa yang saya tahu kini mereka hilang semua harta benda mereka dalam kebakaran berkenaan. Isteri, anak-anaknya dan mentua kami yang selamat dalam kejadian itu pula kini tinggal dengan keluarga di Kampung sama.

“Untuk itu, kami berharap orang ramai mendoakan biras saya dan anaknya agar diberikan kesembuhan segera,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian 12.35 tengah malam Isnin lalu, lapan sekeluarga melalui detik hitam selepas rumah mereka hangus terbakar.

Lebih menyedihkan, dalam kejadian itu, Mohd Adlinsyah dilaporkan rentung. Lima lagi melecur dan dua tidak mengalami kecederaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *