Parti Sabah Dijangka Terus ‘Berpaut’ Isu MA63, Pendatang Asing, Kata Penganalisis

Isu MA63 dan pendatang asing dijangka mewarnai kempen pilihan raya umum di Sabah selain ekonomi serta kos sara hidup. – Foto Hiasan

KOTA KINABALU: Isu lama seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), autonomi dan pendatang asing tanpa izin (Pati) pasti dikitar semula parti di Sabah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis politik.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara berkata, tiga perkara itu dekat di hati rakyat negeri di bawah bayu itu walaupun sudah dilaungkan pelbagai pemimpin sejak berpuluh tahun dahulu.

Bagaimanapun, katanya, isu ekonomi, sara hidup dan inflasi juga bakal mewarnai kempen PRU15 di Sabah susulan ketidaktentuan ekonomi negara ketika ini.

Tony Paridi Bagang.

“Isu lama seperti MA63, autonomi, dan Pati pasti kembali berbangkit, walaupun sentiasa dikitar semula, ia tetap dekat di hati rakyat Sabah.

“Selain itu, isu ‘bread & butter’ (ekonomi, sara hidup) juga akan menjadi isu utama,” katanya kepada FMT.

Tony juga tidak menolak kemungkinan isu kestabilan politik bakal dibangkitkan dan menjadi “permainan” sesetengah parti ketika berkempen.

Lee Kok Tiung.

“Isu ini akan menjadi satu jalinan antara satu dengan yang lain untuk dijadikan modal kempen nanti,” katanya.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah turut senada dengan Tony dengan berpendapat isu Pati dan MA63 terus menjadi topik utama didebatkan parti terutama pembangkang selain ekonomi.

“Sudah pasti MA63 dan Pati (menjadi modal kempen parti di Sabah), isu berkenaan tidak dapat lari daripada rakyat Sabah kerana belum selesai sepenuhnya.

“Rakyat juga penat melihat persengketaan politik, jadi ada kemungkinan pengundi mengambil kira kestabilan ketika membuat keputusan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *