Dakwaan Cubaan Culik Pelajar Adalah Palsu – Polis

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin.

TAWAU : Polis menafikan dakwaan cubaan culik seorang murid di sebuah prasekolah, dekat sini, Isnin lalu, seperti yang ditularkan menerusi media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan mendapati kejadian itu tidak benar sama sekali dan kenyataan yang disebarkan adalah palsu.

Menurutnya, polis juga mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pertemuan bersama pihak sekolah, ibu bapa dan murid yang didakwa menjadi mangsa cubaan culik bagi mengetahui kejadian sebenar.

“Selain itu, satu laporan polis juga dibuat pada 3.26 petang oleh oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit yang menafikan berlakunya insiden terbabit.

“Justeru, suka saya mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai apa yang dibaca selain menyemak kesahihannya sebelum membuat kesimpulan atau menyebarkannya,” katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.

Terdahulu, tular satu hantaran dikongsikan orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp berhubung cubaan culik murid prasekolah, di sini, pada petang Isnin lalu.

Suspek dikatakan cuba mengumpan mangsa dengan memberi gula-gula dan wang namun mangsa menolak pujukan itu sebelum suspek cuba menarik tangan mangsa secara paksa.

Bagaimanapun, cubaan culik itu gagal apabila di sedari oleh seorang guru bersama pengawal keselamatan di sekolah berkenaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *